Saturday, 13 September 2008

MELAKUKAN PERSETUBUHAN DAN KUFARAT KERANA BERSETUBUH

Hukum melakukan persetubuhan pada siang bulan ramadhan:











1.
Persetubuhan itu akan membatalkan puasa jika dilakukan dengan sengaja (dalam keadaan sedar) sekali pun tidak keluar mani.

2.
Menyebabkan wajib membayar kifarat (denda) selain mengqadha' puasa bagi orang yang melakukan persetubuhan (pihak lelaki sahaja) jika sekiranya:

  • Persetubuhan dilakukan pada siang hari.

  • Persetubuhan dilakukan dengan sengaja (tidak kerana lupa atau dipaksa)

  • Puasa yang dilakukan pada bulan ramadhan (bukan kerana nazar, kifarat, puasa qadha' ramadhan dan lain-lainnya).

  • Tidak didahului oleh pembatalan puasa dengan makan dan minum dan seumpamanya.



Kifarat kerana bersetubuh:











1.
Banyak kifarat disediakan bagi banyak hari - bukan banyak kali persetubuhan dilakukan. Ertinya, jika seseorang itu bersetubuh beberapa kali dalam sehari, maka diwajibkan hanya satu kifarat sahaja, dan jika bersetubuh dua hari, diwajibkan dua kifarat dan demikianlah seterusnya.

2.
Satu kifarat atau denda bagi orang yang melakukan persetubuhan ketika berpuasa pada bulan ramadhan ialah:

  • Memerdekakan seorang hamba yang mukmin, jika tidak kuasa;

  • Wajib berpuasa dua bulan berturur-turut, jika tiada kuasa;

  • Wajib memberi sedekan 60 cupak makanan asasi kepada 60 orang miskin secupak seorang.


DARJAH-DARJAH PUASA

Puasa tu mempunyai 3 darjah (tingkatan):















1.Puasa 'Umum'

  • Puasa kebanyakan orang hanya dengan menahan diri daripada makan, minum dan keinginan syahwatnya.


2.Puasa 'Al-Khusus'

  • Berpuasa dengan cara menahan diri dari makan, minum, memelihara syahwat keinginannya, serta mengawal anggota-anggota yang zahir seperti mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan bahagian sulit daripada melakukan maksiat.


3.Puasa 'Khususul Khusus'

  • Berpuasa dengan cara memelihara segala perkara yang tersebut di atas tadi, sambil menjaga hatinya daripada berfikir mengenai hal ehwal dunia dan sifat-sifat riak, 'ujub, takabbur dan lain-lainnya.


HIKMAH-HIKMAH PUASA

Puasa mempunyai hikmat-hikmat dan faedah-faedah yang banyak, antaranya :


  • Menandakan kesyukuran kepada Allah kerana nikmat-nikmat yang banyak kepada hamba-hambanya.


  • Melatih jiwa supaya mempunyai rasa kasih dan belas terhadap orang-orang yang susah menderita.


  • Melatih jiwa supaya bersih daripada sifat tamak, sombong, hasad dan dengki.


  • Melatih diri supaya bersifat sabar dan tahan menempuh ujian-ujian dalam perjuangan hidup.


  • Menanam semangat perpaduan kerana sama-sama menunaikan kewajipan yang sama itu dapat menimbulkan semangat perpaduan.


  • Menanam semangat sama rata dan menjauhkan sifat beza membeza di antara kaya miskin, hina mulia, raja dan rakyat kerana sama-sama menjunjung perintah Allah.


  • Melatih diri supaya mempunyai peraturan-peraturan dan menghargakan masa, kerana puasa mempunyai batas-batas waktu yang tertentu.


  • Membersihkan anggota-anggota di dalam tubuh dari daki-daki dan lemak-lemak makanan yang bekerja sepanjang tahun.


  • Memberi kerehatan kepada alat-alat di dalam tubuh, terutamanya alat pengisar makanan yang bekerja sepanjang tahun.


  • Memberi peluang untuk memperbanyakkan amal ibadat, kerana bulan ramadhan mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada bulan-bulan lain seperti Lailatul Qadar dan sembahyang tarawih.


ORANG-ORANG YANG WAJIB IMSAK DAN TIDAK WAJIB IMSAK



Orang-orang yang berikut dibawah ini adalah diwajibkan imsak, yakni menahan diri daripada makan minum waktu siang hari pada bulan ramadhan, sekalipun mereka itu dikira tidak mengerjakan puasa:


  • Orang yang meninggalkan puasanya dengan sengaja.


  • Orang yang meninggalkan berniat puasa pada waktu malamnya.


  • Orang yang kesiangan pada makan sahurnya.


  • Orang yang berbuka kerana menyangkakan masuk matahari rupa-rupanya masih siang.


  • Orang yang menyangkakan 30 Sya'ban, kemudian ia mengetahui telah masuk satu ramadhan.


  • Orang yang berlebih-lebihan pada berkumur-kumur dan masuk air ke dalam hidungnya.



Orang-orang yang tidak wajib imsak:


  • Kanak-kanak yang hampir baligh.


  • Orang gila ketika sembuh.


  • Orang kafir pada ketika masuk Islam.


  • Orang yang dalam perjalanan (musafir) ketika sampai ke tempat yang dituju.


  • Orang yang sakit pada ketika sembuh.



HUKUM-HUKUM MENINGGALKAN PUASA

Hukum-hukum meninggalkan puasa terbahagi kepada empat :

1. Wajib qadha'


  • Kedatangan haid dan nifas.

  • Sakit yang membahayakan.

  • Tersangat lapar dan dahaga.

  • Dalam perjalanan.

  • Pitam.

  • Mabuk.

  • Mengandung dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan diri masing-masing.

  • Menyusukan anak dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan diri masing-masing.



2. Wajib qadha' dan wajib membayar fidyah.


  • Orang yang mengandung dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan anak masing-masing.

  • Orang yang menyusukan anak dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan anak masing-masing.



3. Tidak wajib qadha'.


  • Kafir (tidak beragama Islam)

  • Kanak-kanak.

  • Gila



4. Tidak wajib qadha' tetapi wajib membayar fidyah.


  • Sakit yang tidak ada harapan sembuhnya.

  • Tua yang tidak kuasa (daya) berpuasa



Beberapa Catitan Penting :

1. Lewat qadha' puasa:


  • Jika lewat qadha' puasa hingga datang bulan ramadhan yang lain, wajib membayar fidyah secupak pada tiap-tiap hari puasa, dan jika lewat dua tahun, melewati dua kali ramadhan, wajib berfidyah sebanyak dua cupak dan begitulah seterusnya di samping wajib mengqadha' puasa itu.



2. Orang yang mati sebelum qadha' puasa:


  • Orang yang luput puasa ramadhan kerana sakit atau musafir dan ia mati sebelum mengqadha'nya, tidak wajib diikut dengan qadha' atau fidyah dan tidak berdosa.

  • Jika seseorang itu mati sebelum mengqadha' puasanya dengan ketiadaan uzur, maka walinya hendaklah mengqadha'kannya atau mengeluarkan fidyah secupak pada tiap-tiap hari puasanya.

  • Fidyah puasa : Mengeluarkan secupak bahan makanan asasi ( di negara kita - beras) untuk tiap-tiap hari puasa yang ditinggalkan, kepada fakir miskin.