| RAYA SEBENAR RAYA" Sempena hari raya ini, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad saw. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 keadaan: 1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya. 2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan 3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka 4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka 5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala Menurut Nabi Muhammad saw. Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala. Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari yang harus dirayakan. Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati. Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakrat, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita. Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka. Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya. Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin. Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman. Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hariraya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya. Hari Raya Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai. Mudah-mudahan hariraya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak. Amin.. |
Monday, 14 September 2009
RAYA SEBENAR RAYA
SYAWAL YANG TERSIRAT
Latihan yang kita amalkan dalam bulan puasa ini dapat membantu kita membentuk sikap positif yang perlu dalam kehidupan seharian. Perkara-perkara di atas merupakan ibadat yang perlu dihayati bukan saja dalam Ramadhan tapi seterusnya dalam bulan-bulan lain. Sebagaimana Islam menganjurkan kita beristiqamah dalam sesuatu amalan, begitulah juga dengan ibadat yang dilakukan dalam Ramadhan. Ia perlu dijadikan budaya sepanjang tahun sehinggalah kita berjumpa Ramadhan satu lagi. Ramadhan demi Ramadhan seterusnya bertindak sebagai pengukuhan meningkatkan mutu dan prestasi amalan menjadikannya lebih baik dan mantap dari setahun ke setahun.
Demikian juga lailatul-qadr yang ditemui setiap Ramadhan memberikan ganjaran bonus 1000 tahun bagi setiap amalan yang dilakukan. Bayangkan jika 30 tahun berpeluang melalui saat-saat keemasan ini. Umur kita yang pendek secara automatis menjadi begitu panjang dengan ganjaran pahala yang semestinya kita tidak dapat alami secara virtual di alam dunia tetapi akan dilihat secara virtual di akhirat kelak. Di dunia hakikat ini hanya diyakini setakat ilmul-yakin. Tahap keimanan masing-masing menjadi ukuran dalam menilai dan menghayati lailatul-qadr.
Hari ini kita berhariraya. Pada hari ini, secara simboliknya semua umat Islam menyambut Aidilfitri sebagai kemenangan mereka melawan hawa nafsu setelah berjaya berpuasa Ramadan sebulan lamanya. Namun kita perlu muhasabah dan mengoreksi diri dengan merenung kembali kualiti puasa yang kita lakukan. Apakah dengan berakhirnya Ramadan rasa ketakwaan, cahaya keimanan dan obor ketauhidan dalam diri kita berjaya dipertingkat dan semakin menebal. Insyallah jika objektif ini dapat dicapai maka ia menjadi petanda bahawa amalan kita diterima oleh Allah. Ini jelas dalam setiap ibadat; misalnya dalam ibadat haji; jika amalan selepas mengerjakan haji dikatakan bertambah baik daripada amalan sebelum pergi haji, itu menjadikan tanda sebagai penerimaan Allah terhadap hajinya atau memperolehi haji yang mabrur. Demikian juga dalam ibadat puasa. Jika tiada peningkatan antara amalan sebelum dan selepas malahan bertambah teruk, fahamlah kita amalan puasa kita belum mencapai tahap; malahan bersesuaian dengan sabda Nabi saw "Betapa ramai orang yang berpuasa yang tidak dapat apa kecuali lapar dan dahaga." Sasaran berpuasa ialah untuk mendapatkan puasa yang 'mabrur' juga.
Sebenarnya setiap hari puasa iaitu ketika berbuka, kita disaran untuk menilai kualiti puasa khusus pada hari itu. Begitulah pada hari-hari seterusnya. Selama sebulan kita mengoreksi diri dan di bulan syawal ini diadakan secara lebih menyeluruh. Biarlah Hari Raya dijadikan titik tolak baru bagi kita menjalankan muhasabah bagi memperbaiki diri sendiri.
Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNya yang keberatan meninggalkan Ramadhan lantaran banyaknya ganjaran dan pahala disediakan pada bulan itu. Kepada golongan ini, Allah membuka satu lagi tawaran dengan menjanjikan pahala setahun iaitu dengan menjalani puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Sama-samalah kita rebut peluang ini sementara Syawal masih berada di depan kita.
Akhirnya sama-sama kita berharap dan berazam sungguh-sungguh semoga kemenangan di bulan ini kita jadikan asas untuk kita menapak lebih jauh menuju keredhaan dan kerahmatan Allah sehinggalah kita meninggalkan alam yang fana ini. Amin..
Dosa Berkuku Panjang
Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku yang panjang, dosanya sama seperti memelihara sekandang babi, jika kesemua jejari kita menyimpan kuku yang panjag.... bayangkanlah dosa yang telah kita tanggung untuk kesemua babi-babi tersebut.... potonglah kuku anda.
The Truth
Jangan simpan kuku panjang walaupun hanya 1 mm atau pun hanya jari kelingking.
Bagi orang Islam adalah tidak sesuai berkuku panjang atas apa alasan sekalipun kerana ia tidak membayangkan kesucian dan ia juga bukan budaya kita apatah lagi menggunakan tangan untuk beristinjak.
Orang Melayu yang berkuku panjang biasanya mempunyai anak yang bodoh atau pun degil dan suka melepak sebab diberi makan bahan kotor yang berada di kuku jari emaknya semasa menyediakan makanan seperti memerah santan kelapa, buat cokodok pisang, uli tepong, dll. Apa ilmu pun yang di ajar pun tak akan boleh diterima masuk ke dalam kepala. Percayalah.
Pasal tabiat berkuku panjang inilah yang membuatkan orang Melayu mundur dan tidak berjaya. Syarikat Melayu yang bangkrap dan rugi teruk adalah kerana mempunyai pekerja dan pemilik yang berkuku panjang.
Untuk yang bujang beringatlah. Kalau hendak cari pasangan dan hendak anak yang pandai dan mendengar kata pilihlah wanita atau lelaki yang sentiasa berkuku pendek. Insya-Allah.
And additional info, kuku panjang mempunyai sejenis kuman seperti yang terdapat dalam najis manusia, iaitu E-Coli. Kuman tersebut tidak akan hilang walaupun kita mencuci tangan dengan sabun. Oleh itu, sentiasalah berkuku pendek untuk kesihatan dan kebersihan diri sendiri.
MENGHORMATI AZAN
Diriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud :
"Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya."
Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apapun semasa azan berkumandang.
Sebagai orang Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri
tegak dan diamkan diri.... mengapa azan kita tidak boleh mendiamkan diri....!!! Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika
azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba.... maka
kita tidak dapat mengucapkan kalimah lailahaillallah... yang mana sesiapa yg dapat mengucapkan kalimah ini ketika
nyawanya dicabut...Allah menjanjikan syurga untuknya.
Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu walaupun nyawa sedang dicabut. "Ya...Allah, anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah Laillahaillallah......semasa sakaratul maut menghampiri kami...."
Siapakah Kita...?
Siapakah orang yang sombong?
Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan
kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di
bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.
Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan
cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.
Siapakah orang dunggu kepala otaknya?
Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa
Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.
Siapakah orang yang kuat?
Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan.
Siapakah orang yang lemah? Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan
matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.
Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas
junjungan Rasulullah s. a. w.
Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan
tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.
Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.
Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia
mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a. s.
Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata
"Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini",
sambil mengukir senyuman.
Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan
kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.
Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan
dunia yang sementara ini.
Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan
harta.
Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia
pendek sedang akhirat kekal abadi
Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan
akhiratnya diabaikan.
Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.
Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya
akan sesuatu perkara itu.
Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang
memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua
ketika ia tidak siuman akalnya.
Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan
ibadat dan amal-amal kebaikkan.
Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada
orang tua.
Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan
di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal
kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.
Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan
akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka.
Monday, 8 September 2008
WASIAT IMAM SHAFIE KEPADA KITA SEMUA. .
Pertama :Hak Kepada Diri iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
Kedua :Hak Kepada Malaikat Maut iaitu mengaqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan daripada orang yang dizalimi, membuat persediaan bagi mati dan merasa cinta kepada Allah
Ketiga :Hak Kepada Kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.
Keempat :Hak Kepada Munkar Nakir iaitu tidak berdusta, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.
Kelima :Hak Kepada Mizan iaitu menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan
Keenam :Hak Kepada Sirat iaitu membuang tabiat suka mengumpat, wara', suka membantu orang beriman da suka berjemaah.
Ketujuh :Hak Kepada Malik iaitu banyak menangis kerana takut kepada azab Allah, berbuat baik kepada kedua ibubapa, bersedeqah ketika terang dan sembunyi dan memperelokkan akhlak.
Kelapan :Hak Kepada Ridhwan iaitu merasa redha kepada qadha Allah, bersabar menerima bala, bersyukur kepada nikmat Allah dan bertaubat daripada maksiat.
Kesembilan :Hak Kepada Rasulullah SAW iaitu berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung dengan Sunnah, menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan daripada Allah SWT.
Kesepuluh :Hak Kepada Allah SWT iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.
Tuesday, 5 August 2008
Bercakap Tentang Bicara…
APA : Satu cita-cita atau kemahuan yang belum dicapai.
SIAPA : diri, ibubapa, keluarga, masyarakat, negara
MENGAPA : keperluan, keinginan (kerana di mana ada harapan di situ ada desakan)
BAGAIMANA : hayati, renung dan bayangan
KENAPA INI TERJADI
Kurang pegangan agama
Kejutan budaya diri
Pengaruh rakan sebaya
Kurang pertahanan diri
Ingin mencuba
Perkembangan teknologi
Mengambil peluang dan kepercayaan orang lain
Sukakan jalan mudah dan keseronokan semata
KITA SERING LUPA
Salahguna amanah – pinjaman dan duit FAMA (Father and Mother)
Couple – Cinta suci dalam debu, cinta monyet
Tidak menunjukkan watak pemimpin dengan tidak berdisiplin, lalai, buat kerja di saat akhir.
Jenayah akademik – Meniru, cetak rompak, copy and paste, manipulasi kawan.
Memandang harapan ibubapa sebagai remeh dan menodai amanah keluarga dan masyarakat.
Tiada visi dan misi, menuntut ilmu sekadar cukup
Imej dan sikap yang tidak sesuai sebagai pelajar.
APA YANG PERLU KITA BUAT?
Insaf tentang lima perkara
Muda sebelum tua
Sihat sebelum sakit
Lapang sebelum sempit
Kaya sebelum miskin
Hidup sebelum mati
Berusaha mengubah diri dengan syarat mesti ada :
Affirmation (penegasan)
Thoughts (pemikiran)
Teach ability ( Boleh diajar atau menerima idea)
Initiative (dapatkan sumber)
Thanks giving (bersyukur / terima kasih)
Upgrade our selves (tingkatkan diri)
Do it now !!!!
Ethusiasm ( semangat yang membara)
5 elemen untuk berubah sikap :
B : BAHASA
E : EMOSI
R : RUPA (WAJAH)
U : USAHA
B : BAKAT (SKILL)
A : AMALAN
T : HASRAT
MEMBINA IMEJ DIRI
Untuk membina ketrampilan imej kendiri perlu ada
kemahiran berkomunikasi
keluwesan (adaptability)
kemahiran menyelesaikan masalah
kemahiran kerja berkumpulan
kemahiran etika : ilmu, iman, amal
kemahiran penghargaan kendiri (self esteem)
kemahiran belajar berterusan (long life study)
IMEJ REMAJA
R : RELAX
E : EGO
M : MIANG
A : ANGAN
J : JOLI
A : ANGKUH
R : RAJIN
E : ELEGAN
M : MAJU
A : AKTIF
J : JUARA
A : AMANAH
KATA² NASIHAT
LOVE WHAT YOU DO,DO WHAT YOU LOVE
SUCCESS IS A JOURNEY, NOT A DESTINATION
A READER TODAY, LEADER TOMORROW
BERFIKIRAN OPTIMISTIK
KENAPA MANUSIA TIDAK BERMOTIVASI
Tiada matlamat yang jelas
Tiada rangka tindakan yang sistemik
Tidak kenal kehebatan diri
Tidak tahu cara mendorong diri
Diketahui pemikirannya negatif
Imej diri yang negatif
Dipengaruhi oleh persekitaran
Tidak berdoa
Bodoh sombong
PERSISTENSI
Tidak mudah kalah / mengalah terhadap dugaan dan cabaran dalam mencapai satu matlamat.
QUITTERS NEVER WIN AND WINNER NEVER QUIT
RENUNGI 7 AKHIRAN T
NIAT – mesti betul
LIHAT – apa yang boleh diguna (ilmu)
INGAT - tanggungjawab
SEMANGAT – datang dari diri sendiri
BUAT – Jangan tunggu
BERKAT
HAKIKAT
RAHSIA KEJAYAAN DIRI
D - Dorongan
I - Inisiatif
S - Sopan santun
I - Intelektual
P - Pengalaman
L - Latihan
I - Iman
N - Nasihat
PEMBAHAGIAN MASA
1/8 dari 24 jam = Ibadah….solat,belajar
1/8 dari 24 jam = Assignment
1/8 dari 24 jam = Hidup sebagai masyarakat
Friday, 27 June 2008
Dilihat 70 Kali Sehari
Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.
Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :
Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.
Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.
Meski pun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.
Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabie biasa sebagai pendapat golongan athies, dan tidak kurang pula yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang zahir sahaja. Dia mengambil logik, bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebakaran dan juga kemalangan samada diudara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya.
Selain itu, mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, taun dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang tersebut di atas. Jika berlaku kematian dikalangan mereka, lantas mereka bertanya, sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah? .
Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat..
Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.
Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak akan tertangguh walau sesaat.
Walau bagaimana pun, ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi satu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingati mati, untuk itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi orang muflis di akhirat kelak.
Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang-orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa berwaspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna.
Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan meraka, jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak memberi amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika ada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan terjerumus ke lembah bahaya itu.
Selain itu, Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusiaĆ yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah SWT iaitu para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang solihin.
Selain itu juga, malaikat maut mengadu kepada tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam a.s, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.
Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai-bagai sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam a.s sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlakunya kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana mengidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.
Ketika itu, Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.
Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya.
Walau bagaimana pun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu samada bersebab ataupun tidak, sebagai mana yang dinyatakan pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya malaikat maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut berasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal samada seseorang yang sedang sakit atau pun ketika sihat dan segar-bugar.
Firman Allah Taala yang bermaksud :
Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya.
( Surah Al-Araf ayat 34 )
Wallahualam..