Friday, 22 January 2010

Takrif Sistem Maklumat Geografi

Takrif Sistem Maklumat Geografi

Sistem Maklumat Geografi (GIS) merupakan gabungan dari sistem maklumat dan geografi (Star, J&Estes,1990).

Selanjutnya...

Pengenalan Kepada Sistem Maklumat Geografi (GIS)

Sistem Maklumat Geografi (GIS) adalah merupakan sebuah sistem pengurusan maklumat berkomputer yang berfungsi untuk tujuan

Selanjutnya...

Monday, 14 September 2009

RAYA SEBENAR RAYA












RAYA SEBENAR RAYA"

Sempena hari raya ini, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad saw. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 keadaan:

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.

2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan

3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka

4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka

5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala

Menurut Nabi Muhammad saw. Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka,  masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.

Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari yang harus dirayakan.

Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw.  Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati. Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakrat, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita. Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.

Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.

Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga  terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.

Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hariraya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya.  Hari Raya Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.

Mudah-mudahan hariraya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak. Amin..

LAILATUL-QADR: GANJARAN ISTIMEWA UNTUK MUJAHID DI BULAN RAMADHAN

Alhamdulillah Allah telah memberi peluang kepada kita menikmati Ramadhan tahun ini, bulan keampunan, bulan rahmat dan bulan pelepasan dari neraka. Peluang hanya datang setahun sekali; tahun depan kita belum pasti bertemu Ramadhan lagi. Sayugianya kita mengambil kesempatan dan peluang yang terbuka luas ini bagi merebut tawaran maha hebat yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana agensi dan syarikat pasaraya di dunia ini..

Nabi Muhammad saw sekembalinya dari satu peperangan, memberitau para sahabatnya bahawa mereka baru kembali dari satu peperangan yang kecil dan sedang menuju ke satu peperangan yang lebih besar dan lebih sengit. Para sahabat menjadi bingung dan tertanya-tanya adakah peperangan yang lebih hebat daripada itu. Nabi menjelaskan peperangan yang dimaksudkan yang lebih dahsyat ialah berperang degan hawa nafsu.

Berperang dengan nafsu dikatakan jihad yang lebih besar daripada peperangan dengan senjata yang boleh meragut nyawa sendiri. Bagi kebanyakan kita, perkara yang paling kita takuti ialah peperangan dengan senjata kerana kita tahu ia boleh merampas jiwa kita, anak dan keluarga serta apa-apa yang kita sayangi. Kita akan berpisah dengan dunia dan kemanisannya. Rupa-rupanya apa yang kita takuti selama ini bukanlah satu yang benar-benar harus ditakuti. Yang paling ditakuti menurut Islam ialah nafsu yang ada dalam diri kita. Dialah musuh yang paling nyata yang berada bukan di luar diri kita tetapi menjadi sebahagian daripada kita. Dia benar-benar 'musuh dalam selimut' yang boleh merosakkan diri kita bahkan lebih dahsyat menjerumuskan kita ke dalam neraka yang mana azab dan sengsaranya berkekalan dan tidak dapat digambarkan hebatnya penderitaan oleh mana-mana media di dunia ini.

Diri kita bolehlah dianggap sebagai sebuah kerajaan yang mana otak merupakan pemerintah, hati menjadi penasihat menteri atau barisan penyokong kerajaan sementara nafsu bertindak sebagai puak pembangkang yang sangat mahir berdiplomasi dan berpura-pura. Dalam menjalankan mesyuarat kabinet, perdana menteri mesti pandai membuat keputusan demi kesejahteraan negara. Beliau mesti berwibawa serta mampu mengenalpasti atau membezakan mana satu cadangan yang konstruktif dan destruktif. Peranan pembangkang perlu diawasi supaya tidak merosakkan negara keseluruhannya. Dalam usaha mempengaruhi perdana menteri supaya mengikut telunjuknya, barisan pembangkang yang diwakili oleh nafsu menjalankan pelbagai strategi kotor melalui amalan rasuah (wang dan perempuan yang sesuai dengan nafsu) dan ugutan. Jika tidak dapat dengan cara kekerasan, ia menukar taktik dengan cara berlembut. Hanya perdana menteri yang bijak saja selamat dari dakyah dan umpan beracun ini.

Dalam hubungan ini, puasa merupakan satu cara untuk menundukkan nafsu. Bagi kita, perosak terbesar ialah nafsu perut. Disebabkan nafsu inilah datuk dan nenek kita Adam dan Hawa terusir dari negara abadi ke negara yang hina dan miskin ini. Mereka dilarang dari memakan buah khuldi tetapi malang berjaya dikalahkan oleh nafsu perut mereka lalu khuldi dimakan dan sekaligus tersingkap aurat kemaluannya. Terbukti dengan menurut nafsu perut membangkitkan nafsu-nafsu lain seperti nafsu kelamin yang dahsyat dan keras dorongannya. Kemudian diikuti dengan nafsu mencari harta, nafsu mencari pangkat, nafsu mencari kekayaan dan kesemuanya ini menimbulkan pelbagai gejala penyakit lain seperti dengki, hasad, iri hati, permusuhan dan saling membenci antara satu sama lain. Akhirnya dunia akan dipenuhi dengan pelbagai arus dan trend maksiat, kejahatan dan kemungkaran. Pucuk pangkal dari semua ini ialah menurut nafsu perut.

Setiap penyakit ada ubat. Allah menurunkan penyakit dan ubatnya sekali. Ubat bagi penyakit nafsu ialah berpuasa. Kenapa puasa dianggap sebagai ubat/resipe memerangi godaan nafsu? Jawapannya terkandung dalam hadith Nabi saw:

"Perangilah nafsumu dengan lapar dan dahaga kerana pahala yang demikian menyamai pahala orang yang berperang di jalan Allah."

Berpuasa menyempitkan tempat laluan Iblis. Oleh itu memudahkan diri kita untuk tunduk kepada perintah Allah. Pada masa yang sama tidak mengikut jalan nafsu dan kedurhakaan serta tidak terikut-ikut dengan budaya kemewahan dan mengutamakan dunia dari akhirat.

Dalam satu riwayat ada menceritakan 'orang yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat ialah mereka yang lama berlapar dan sentiasa merenung kebesaran Allah swt.' Pada riwayat lain, Nabi Muhammad saw bersabda "Ketuklah selalu pintu syurga supaya dibukakan untukmu. Bila Aisyah bertanya bagaimana, Nabi menerangkan dengan lapar dan dahaga."

Nabi juga ada bersabda "manusia yang paling lama menderita kelaparan pada hari kiamat ialah mereka yang paling lama kenyangnya di dunia."

Baginda Rasulullah saw sendiri belum pernah merasakan kekenyangan malahan pernah tidak merasakan sebarang makanan selama berhari-hari sehinggalah baginda wafat. Di antara kebaikan daripada berpuasa ialah seperti berikut:

* membersihkan hati dan menajam fikiran
* memperhalus jiwa dan rohani sehingga terasa lazat beribadat
* menghilangkan rasa sombong diri
* merasa dan ingat akan ujian dan cobaan Allah
* merobohkan kubu pertahanan nafsu
* mengurangkan rasa ngantuk dan tidur supaya berpeluang beribadat kepada Allah
* membuka peluang seluasnya untuk ibadat
* menyihatkan badan dan sistem jasmani
* menolak pelbagai penyakit berpunca dari banyak makan
* mengurangkan perbelanjaan untuk makan
* membaiki hati dan bersimpati orang miskin dengan sedekah

Nah! sekarang kita berada di penghujung Ramadhan - bulan taubat, bulan berkat, bulan keampunan, bulan jihad, bulan muhasabah dan bulan pelepasan dari api neraka. Hari ini kita masih berkesempatan berpuasa, elok belum tentu lagi... Jadi gunakan kesempatan ini dengan banyak beribadat dan berjuang melawan nafsu. Nafsu jahat perlulah dibanteras. Nafsu perut jangan diturutkan sangat. Nafsu yang ingin melihat perkara yang haram perlu dilawan. Telinga ingin mendengar hiburan dan nyanyian perlu disekat. Naluri seks yang inginkan kepuasan juga dikekang. Pendekata semua indera dan anggota perlu dipuasakan demi menjaga hak berpuasa. Begitu juga mulut yang ingin berceloteh, mengumpat, berbohong dan mencaci mesti dilawan.

Puasa hanya menjadi satu adat dan budaya jika hanya menahan diri dari makan dan minum tanpa disertai dengan kesungguhan berperang dengan nafsu. Tujuan berpuasa mestilah jelas supaya adab-adab berpuasa dapat kita jaga dengan baik. Inilah sebenarnya intipati puasa. Kalaulah tidak masakan nabi mengatakan jihad melawan nafsu lebih berat daripada jihad perang fisabilillah; sedangkan peperangan dengan senjata amat berat dan mempunyai risiko yang amat dahsyat. Mengabaikan aspek ini bermakna kita hanya berpuasa mengikut adat atau secara lahiriah saja tanpa menghayati apa yang tersirat dalam ibadat puasa. Nabi Muhammad saw. mengingatkan kita bahawa ramai orang yang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.

Amat wajar sekali bagi mereka yang benar-benar berjuang melawan nafsu sepanjang Ramadhan diberikan ganjaran Lailatul-Qadr - satu malam yang menyamai 1000 bulan. Amat beruntung dan bertuah bagi mereka yang dapat menghidupkan malam Lailatul-Qadr yang jatuhnya pada salah satu malam di antara 10 terakhir Ramadhan. Barangsiapa yang sudah berjuang melawan nafsu pada hari-hari sebelumnya amat mudah melakukannya. Mereka akan berebut dan menunggu saat-saat yang maha berkat ini. Betapa kiranya jika ada orang menawarkan agar beribadat pada sekian malam dan akan diberi berbillion-billion ringgit malahan kekayaan seorang korporat. Sudah tentu semua manusia turut berjaga malam untuk merebut tawaran ini. Tapi sayang seribu kali sayang tawaran Allah ini dipandang sepi oleh sebahagian besar manusia termasuk diri kita, lantaran kurangnya iman kita terhadap Allah. Masa masih ada bagi kita untuk merenung diri dan mengambil peluang yang Allah berikan pada Ramadhan ini.

Sebagaimana orang yang menyambut Ramadhan dengan hati yang gembira diharamkan jasadnya dari api neraka, begitulah juga keadaannya orang yang sangat berat hatinya meningggalkan Ramadhan. Lantaran itu, ramai di antara orang-orang soleh menangis meninggalkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Mereka sedar tidak ada bulan lain yang menyamai Ramadhan. Awal Syawal mereka berhariraya dan hari keduanya diikuti dengan puasa sunat 6 hari. Mengikut Nabi barangsiapa berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. 30 hari + 6 hari = 36 hari. Jika setiap kebajikan dibalas dengan 10, maka 36 x 10 = 360 hari atau 1 tahun.

Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang dukacita meninggalkan Ramadhan atau sebaliknya? Sementara masih ada hari-hari puasa lagi, sama-samalah kita mempertingkatkan nilai puasa kita semoga dapat kita menikmati kelazatan berpuasa dan menghidupkan malam Lailatul-Qadr. Semoga puasa tahun ini benar-benar memberi kesan yang positif terhadap diri kita, amin.

Selamat berpuasa dan menyambut Hari Raya - merayakan kemenangan kita dalam peperangan dengan nafsu. Janganlah kita berhariraya kerana menyambut kemenangan nafsu atas diri kita ...

Wallahu a'alam..

SYAWAL YANG TERSIRAT

30 hari berpuasa di bulan Ramadhan mengajar kita banyak perkara. Kita dilatih melawan nafsu: Mulut dikekang dari berkata kotor seperti mengumpat dan mencaci orang, perut dikekang dari memendatkan dengan pelbagai makanan, telinga dikekang dari mendengar yang haram, kaki dikekang dari berjalan ke tempat kejahatan dan mata pula dilarang dari melihat sesuatu yang diharamkan. Pada masa yang sama, Ramadhan melatih kita mengerjakan banyak amalan sunat seperti membaca Al-Quran, bersembahyang sunat, bersedekah, berzakat, berzikir dan bertafakur.

Latihan yang kita amalkan dalam bulan puasa ini dapat membantu kita membentuk sikap positif yang perlu dalam kehidupan seharian. Perkara-perkara di atas merupakan ibadat yang perlu dihayati bukan saja dalam Ramadhan tapi seterusnya dalam bulan-bulan lain. Sebagaimana Islam menganjurkan kita beristiqamah dalam sesuatu amalan, begitulah juga dengan ibadat yang dilakukan dalam Ramadhan. Ia perlu dijadikan budaya sepanjang tahun sehinggalah kita berjumpa Ramadhan satu lagi. Ramadhan demi Ramadhan seterusnya bertindak sebagai pengukuhan meningkatkan mutu dan prestasi amalan menjadikannya lebih baik dan mantap dari setahun ke setahun.

Demikian juga lailatul-qadr yang ditemui setiap Ramadhan memberikan ganjaran bonus 1000 tahun bagi setiap amalan yang dilakukan. Bayangkan jika 30 tahun berpeluang melalui saat-saat keemasan ini. Umur kita yang pendek secara automatis menjadi begitu panjang dengan ganjaran pahala yang semestinya kita tidak dapat alami secara virtual di alam dunia tetapi akan dilihat secara virtual di akhirat kelak. Di dunia hakikat ini hanya diyakini setakat ilmul-yakin. Tahap keimanan masing-masing menjadi ukuran dalam menilai dan menghayati lailatul-qadr.

Hari ini kita berhariraya. Pada hari ini, secara simboliknya semua umat Islam menyambut Aidilfitri sebagai kemenangan mereka melawan hawa nafsu setelah berjaya berpuasa Ramadan sebulan lamanya. Namun kita perlu muhasabah dan mengoreksi diri dengan merenung kembali kualiti puasa yang kita lakukan. Apakah dengan berakhirnya Ramadan rasa ketakwaan, cahaya keimanan dan obor ketauhidan dalam diri kita berjaya dipertingkat dan semakin menebal. Insyallah jika objektif ini dapat dicapai maka ia menjadi petanda bahawa amalan kita diterima oleh Allah. Ini jelas dalam setiap ibadat; misalnya dalam ibadat haji; jika amalan selepas mengerjakan haji dikatakan bertambah baik daripada amalan sebelum pergi haji, itu menjadikan tanda sebagai penerimaan Allah terhadap hajinya atau memperolehi haji yang mabrur. Demikian juga dalam ibadat puasa. Jika tiada peningkatan antara amalan sebelum dan selepas malahan bertambah teruk, fahamlah kita amalan puasa kita belum mencapai tahap; malahan bersesuaian dengan sabda Nabi saw "Betapa ramai orang yang berpuasa yang tidak dapat apa kecuali lapar dan dahaga." Sasaran berpuasa ialah untuk mendapatkan puasa yang 'mabrur' juga.

Sebenarnya setiap hari puasa iaitu ketika berbuka, kita disaran untuk menilai kualiti puasa khusus pada hari itu. Begitulah pada hari-hari seterusnya. Selama sebulan kita mengoreksi diri dan di bulan syawal ini diadakan secara lebih menyeluruh. Biarlah Hari Raya dijadikan titik tolak baru bagi kita menjalankan muhasabah bagi memperbaiki diri sendiri.

Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNya yang keberatan meninggalkan Ramadhan lantaran banyaknya ganjaran dan pahala disediakan pada bulan itu. Kepada golongan ini, Allah membuka satu lagi tawaran dengan menjanjikan pahala setahun iaitu dengan menjalani puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Sama-samalah kita rebut peluang ini sementara Syawal masih berada di depan kita.

Akhirnya sama-sama kita berharap dan berazam sungguh-sungguh semoga kemenangan di bulan ini kita jadikan asas untuk kita menapak lebih jauh menuju keredhaan dan kerahmatan Allah sehinggalah kita meninggalkan alam yang fana ini. Amin..