Ertinya: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." Surah At-Taubah (ayat 103).
PENGERTIAN ZAKAT FITRAH
Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan
SYARAT WAJIB ZAKAT
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
- Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
- Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
- Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
KADAR FITRAH
Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:
- WAKTU WAJIB Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
- WAKTU YANG PALING AFDHAL Sebelum sembahyang Hari Raya.
- WAKTU SUNAT Sepanjang bulan Ramadhan.
- WAKTU MAKRUH Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.
- WAKTU HARAM Selepas terbenam matahari satu Syawal.